Thursday, December 3, 2015

Ayam Masak Lemak Kuning

Bismillah walhamdulillah...

Hari ini semangat memasak datang tengok bahan-bahan pun cukup sebab dapat beli kat kedai bawah pagi tadi. Saya tidaklah pandai masak-masak ni, tapi sejak jadi 'mem' besar kat rumah sepenuh masa dapatlah saya faham serba sedikit konsep memasak supaya tidak terlalu bergantung dengan resepi. Lagi pula kerap masak. Tambahan, saya jenis suka masak campak-campak. Kurang rajin nak sukat sana sini.

Inilah juga antara sebab saya kurang suka membuat kek, biskut dan seangkatan dengannya walaupun ada yang jadi kegemaran. Sebab kalau tidak disukat dengan betul, memang tak jadilah. Hehe.Paling senang dan confirm sedap, kita beli aje. Ye tak?

Okay, berbalik pada resepi masak lemak ni, saya rasa masakan ni bukan senang nak masak. Tapi hari ini, eksperimen saya menjadi dan saya nampak konsep mudah masak lemak ni. [Amboi, berkonsep bagai. Buat orang pening je].


Antara perkara penting kena tahu untuk masak lemak (ayam, daging, ikan, udang)

1. Ada orang masak lemak tak pakai bawang. Tapi saya lebih suka pakai bawang, jadi tak perlulah kita guna perasa-perasa semua tu.

2. Ada juga orang masak lemak, bahan-bahan rencah ditumis. Ikut selera masing-masing. Selagi boleh sediakan makanan sihat dan sedap, kenapa tidak kita kurangkan benda-benda yang tak perlu, kan?

3. Jika masak lemak ayam atau daging, didihkan bahan-bahan selain santan dengannya. Sebab ayam dan daging lambat nak masak. Pada masa yang sama, rasa bahan-bahan tadi akan sebati dalam daging tu. Santan masukkan akhir sekali, sebab santan tak boleh didih lama-lama, nanti pecah minyak.

4. Makanan laut tak sedap kalau masak terlalu lama. Kalau ikan, nanti jadi hancur. Kalau udang pula isinya jadi liat dan keras. Jadi, untuk masak lemak yang diletakkan ikan atau udang, kita masukkan santan dulu, baru masukkan haiwan-haiwan ni ye. Heheh.

5. Masakan yang bersantan memang wajib perasakan dengan garam.

6. Nak pedas, tambahkan sahaja cili padi.

Cukuplah tu. Inilah cara saya masak ayam masak lemak kuning.

Bahan-bahan

Ayam
Serai
Halia
Bawang besar
Bawang putih
Kunyit
Santan
Kentang
Asam keping
Garam
Kerisik

Cara-cara

1. Kisar bawang besar, bawang putih dan kunyit.

2, Masukkan ke dalam periuk bersama-sama dengan sedikit halia, asam keping dan serai yang telah diketuk.

3. Masukkan ayam dan kentang yang telah dipotong kiub.

4. Didihkan sehingga ayam masak dan kentang cukup lembut.

5. Akhir sekali, masukkan santan dan kerisik.Sentiasa kacau sampai mendidih sebab taknak santan tu berketul-ketul. Perasakan dengan garam secukupnya.


No comments:

Post a Comment